Monday, December 31, 2012

Hari Terakhir Tahun 2012

Pagi ini, saya masih belum tidur.. mata belum mahu lelap. Mungkin kerana penangan kopi hazelnut seawal 8 malam tadi.. suasana di dalam kampus masih sunyi.. dan saya masih bersemangat menyusun formula untuk kerangka kerja saya.. beginilah rutin pelajar, memikir mencari formula agar dapat dimudahkan cara..

Ya, tahun 2012 bakal menutup tirai. Namun, 3 impian terbesar saya masih belum dicapai. Pertamanya, berkahwin, keduanya memiliki rumah sendiri dan yang ketiga, memiliki kereta idaman. Impian kedua dan ketiga itu, mungkin hanya dapat direalisasikan apabila saya tamat pengajian dan mempunyai kerjaya tetap. Cuma yang pertama itu, semakin samar. Bayang pun entah hilang ke mana. Usia semakin hari semakin meningkat. Antara percaya atau tidak, 4 hari lagi umur saya akan menginjak ke angka 30. Umur 30 tahun, masih belum berkahwin, masih belum punyai anak, malah masih belum memiliki rumah sendiri. Sesuatu yang tidak pernah saya gambarkan kehidupan seperti ini sewaktu saya kecil-kecil dahulu.

Hidup ini, sememangnya berlaku atas apa yang ditakdirkan untuk kita, dan saya tidak pernah mengharapkan kehidupan berumahtangga saya sebegitu lewat. Pada usia ini, mungkin tidak banyak perkara yang diharapkan.. Mungkin impian masa silap juga sedikir sebanyak akan terhakis.. Siapa tahu, siapa dapat menduga.. dan soal hati, bukan sesuatu yang boleh dipaksa-paksa.. dan jodoh selagi belum tiba masanya, sebagai manusia, saya hanya mampu berteka-teka.. entah siapa, entah di mana.. tiada jawapan..