Sunday, May 17, 2015

carilah kekuatan di dalam dirimu!!

“Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda Yang diingini nafsu, Iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia.”

“…dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali Yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)… bagi orang-orang Yang bertaqwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa syurga, Yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. disediakan juga pasangan-pasangan/ isteri-isteri Yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredaan dari Allah”.

 Jika hari ini, kita berasa sedih dan berduka kerana ketiadaan apa yang kita inginkan, ingatlah bahawa ujian yang didatangkan itu adalah secebis rahmat dari Allah.

Jika kita berasa sukar untuk menghadapi cabaran hidup, ingatlah juga bahawa ujian yang didatangkan kepada para nabi dan para wali Allah itu jauh lebih hebat daripada apa yang kita hadapi. Jika kita berduka kerana tidak dikurniakan zuriat, renungkanlah kesabaran Nabi Zakaria. Pada doa yang tak pernah luput, pada pengharapan yang tak pernah padam. Sehingga lemah tulang-berulangnya, dan telah putih melepak uban di kepalanya. Biarpun saban hari ditekan kebimbangan akan kecuaian kaum kerabatnya untuk menyempurnakan tugas-tugas dakwah jika wafatnya dia. Sedang isterinya pula adalah seorang yang mandul.

Janganlah dihairankan, pada Tuhan yang menciptakan, pada doa yang dimakbulkan. Kerana sabarnya itu, dikurniakan zuriat penyambung warisan dakwah anbiya’. Dialah anak yang bernama Yahya, yang diberikan hikmat kebijaksanaan ketika masih kecil, yang dikurniakan rahmat dari sisi Tuhannya, serta kelebihan yang berkembang manfaatnya dan dia seorang yang bertaqwa. Seorang anak yang taat kepada kedua ibu bapanya, yang tidak pula sombong angkuh dan derhaka..

Jika kita berasa resah dan gelisah untuk menghadapi tohmah dan fitnah dari manusia, renungkanlah sabarnya seorang wanita bernama Maryam yang dititipkan ruh ke dalam rahimnya. Betapa teguh hatinya, betapa teguh suci dirinya, sendirian melahirkan zuriat. Biarpun pernah menghembur keluh kesah agar dirinya dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang. Sucinya diri dipertahankan, mengunci bicara, bernazar diam membisu kerana (Allah) Ar-Rahman. Sucinya maruah diri yang dipertahankan itu, lantas diangkat menjadi antara wanita terhebat dalam sejarah penciptaan manusia. Sebaris dengan kehebatan Khadijah Khuwailid, Fatimah az Zahra dan Asiah puteri Muzahim..

Dan pada Asiah, dialah wanita cantik, terhormat lagi bijaksana. Dialah permasuri kepada pemerintah yang termasyhur, isteri kepada si zalim Firaun. Pada kelembutan yang ada padanya, mampu menawan keangkuhan seorang pemimpin tirani. Maka, membesarlah Musa yang diburu di dalam istana Firaun. Mengangkat Musa yang terbuang menjadi seorang yang terbilang. Hebatnya Asiah apabila dia rela melepaskan segala kemewahan dunia dan tahta demi mempertahankan akidah mentauhidkan Allah tuhan yang satu.

Biarpun perit diseksa, iman tetap terpahat di jiwa sehingga ke hujung nyawa. Doanya saat dipangku malaikat, “Wahai Tuhanku! binalah untukku sebuah Rumah di sisiMu di dalam syurga, dan selamatkanlah daku dari Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah daku dari kaum yang zalim” sebelum jasad rebah terkulai menyembah bumi. Dialah lambang seorang wanita yang utuh mempertahankan akidah saat berada dipuncak kemasyhuran dunia..


*ada banyak lagi kisah para nabi yang boleh menjadi kekuatan untuk kita

No comments:

Post a Comment