Tuesday, July 16, 2013

Hikmah

Apakah hikmahnya sesuatu perkahwinan itu jika hadirnya boleh memecah-belahkan hubungan darah yang sedia ada.. sehingga terputusnya hubungan antara ibupada dan anak, abang dan adik, kakak dan adik atau kakak dan abang, sepupu sepapat?

Statistik yang pernah dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam ada menyatakan bahawa, rata-rata daripada keluarga yang berantakan adalah dari kalangan mereka yang meringankan solat dalam kehidupan seharian. Maka, tidak hairanlah mengapa Rasulullah saw bersabda, dan hadis itu berbunyi: “Wanita itu dinikahi kerana empat perkara iaitu kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya, dan kerana agamanya. Maka pilihlah olehmu wanita yang punya agama, engkau akan beruntung.” (Riwayat Bukhari, no. 5090, dan Muslim, no. 1466). Bahagia yang hakiki bukanlah atas nilaian harta, keturunan atau rupa. Sebaliknya, agamalah yang menjadi tunjang segalanya.

Biarpun fitrahnya, seperti mana yang Allah firmankan, mafhumnya; "Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)" (3:14). Al-Hafiz Ibnu Hajar ada berkata: “Yang sepatutnya bagi seorang yang beragama dan memiliki maruah (adab) untuk menjadikan agama sebagai petunjuk pandangannya dalam segala sesuatu. Lebih-lebih lagi dalam suatu perkara yang akan tinggal lama bersamanya (isteri). Maka Rasulullah memerintahkan untuk mendapatkan seorang wanita yang memiliki agama di mana hal ini merupakan puncak keinginannya.” (Fathul Bari, 9/164). 

Namun, ketentuan jodoh itu segalanya adalah berdasarkan siapa diri kita.. kerana, "(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia' (an-Nur:26).

wallahu'alam.

nota:
acapkali orang mengatakan perkahwinan itu mendirikan rumahtangga, mendirikan masjid. Namun, berapa banyak daripada perkahwinan yang berlangsung itu membawa kepada pepecahan dalam keluarga, putusnya silaturrahim antara adik-beradik, ibu/ayah-anak? apakah ini yang dikatakan rumahtangga atau masjid? ataupun itu adalah neraka duniawi?

renungkanlah.. apa hikmahnya perkahwinan itu? apa yang ada di atas dunia ini hanyalah pinjaman semata, sampai masa kembali jua kepada penciptanya.

No comments:

Post a Comment